Thursday, 23 September 2021

Pengurusan Pasca Covid 19 @ Asrama Kebajikan Ar Rayyan

Pandemik Covid 19 menjadi iktibar dalam mengurus perubahan norma kehidupan di dalam masyarakat dunia. Asrama Kebajikan Ar Rayyan juga merasa terkesan dengan pandemik Covid 19 ini. Penghuni Asrama Kebajikan Ar Rayyan juga pernah dijangkiti wabak Covid 19 ini menyebabkan pelajar terpaksa dihantar ke PKRC Pasir Gudang malah ada bekas kakitangan di asrama ini yang dijangkiti sehingga membawa maut. Hal ini memberikan  pengajaran kepada keseluruhan penghuni asrama ini. 

Beberapa perubahan dalam pengurusan norma baharu @ pasca Covid 19 dilaksanakan dengan berhati-hati dan tersusun bagi menjamin kelangsungan operasi dan kehidupan penghuni asrama. Terima kasih kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan dengan SOP yang ketat di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Berasarama beroperasi seterusnya membolehkan pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan. 

Pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti bacaan yassin dan tahlil serta doa selamat dilakukan setiap hari berdasarkan permintaan penyumbang dan penderma serta orang ramai. Majlis bacaan dan hafazan Al Quran serta PDPR (Pembelajaran Di Rumah@Asrama) menggunakan gajet dan talian internet dilaksanakan. Pembelajaran secara maya ini telah memanfaatkan pembelajaran dan pengetahuan melalui aplikasi whatsapp, telegram, google classroom, google meet, google form, zoom, microsoft teams dan youtube. Gajet yang digunakan juga sama ada komputer, komputer riba, peranti 12'/9' atau telefon genggam termasuklah projektor dan layar skrin.


Oleh yang demikian, pihak pengurusan Asrama Kebajikan Ar Rayyan akan terus komited mengurus dan membantu penghuni asrama agar dapat mendepani masa akan datang dengan penuh gemilang. Setelah  melebihi 11 tahun beroperasi, maka pihak pengurusan bercadang untuk  membeli bangunan sendiri bagi membolehkan penghuni tidak berpindah randah di masa akan datang . Jangkaan pembelian pada tahun hadapan dengan kos pembelian dianggarkan RM 1 Juta (Satu Juta Ringgit Sahaja). 

Menjadi harapan besar penghuni Asrama Kebajikan Ar Rayyan terdiri dari anak yatim/fakir/miskin agar impian membeli bangunan ini menjadi kenyataan dengan sokongan dan sumbangan kewangan dari masyarakat keseluruhannya.

Monday, 20 February 2017

Majlis Makan Malam Amal

Persatuan Insani Darul Takzim akan mengadakan Majlis Makan Malam Amal pada 19hb Mei 2017 bermula 7.30 hingga 11.00 malam. Program ini dijangka akan diadakan di Dewan Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Tampoi Johor Bahru. Dijangka 200 orang akan menyertai program murni ini. Objektif penganjuran program ini adalah mengumpul dana bagi menampung kos operasi Asrama Kebajikan Ar Rayyan (Daftar JKM : J/PJB WT 016/2016), kos aktiviti wajib pelajar dan kos baikpulih kerosakan asrama. Tajaan VVIP bernilai RM 5,000, RM 3,000 dan RM 1,000 untuk mengambil bahagian di dalam program ini. Tajaan VVIP layak untuk mendapatkan resit pengecualian cukai Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Rujukan : LHDN.01/35/42/51/179-6.7729). Tajaan/sumbangan atau derma di bawah nilai RM 1,000 juga dialu-alukan untuk turut serta di dalam program ini. Maklumat lanjut hubungi Ustaz Halimi 013-3450068.

Friday, 2 January 2015

Bantuan Pasca Banjir di Pantai Timur

Bantuan Pasca Banjir di Pantai Timur masuk siri yang kedua selepas bantuan tahun 2014. Kini bantuan diteruskan dengan hasil sumbangan masyarakat seperti beras dan air mineral. Penghantaran akan disertai oleh 10 orang sukarelawan dengan sebuah lori dan 2 buah MPV. Fokus bantuan khusus untuk wilayah sekitar Pahang memandangkan yang paling hampir dengan Johor dan antara negeri yang menerima kesan besar akibat bencana banjir pada kali ini. Bantuan ini juga hasil semangat Maulidur Rasul 1436H pada tahun ini yang memupuk sifat bantu membantu dan semangat kemasyarakatan yang tinggi.Seperti bantuan banjir siri pertama dahulu, bantuan banjir siri kedua juga akan diserikan dengan aktiviti cuci kawasan banjir seperti rumah perseorangan, masjid, surau atau sekolah. Disamping itu penyerahan barangan dan ramah mesra dengan penduduk sekitar juga dilakukan. Bantuan banjir akan diteruskan pada setiap tahun dan sekiranya sumbangan ingin dilakukan boleh terus ke akaun persatuan seperti dinyatakan.